Penunggang motosikal maut, langgar kereta buat pusingan U
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta yang sedang melakukan pusingan U di kawasan Batu 8, Jalan Bintulu-Miri, sekitar jam 7.05 malam Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa yang dikenali sebagai Yue Chong Ley, 38, disahkan maut di lokasi kejadian.
"Pemandu kereta terbabit yang merupakan seorang wanita berumur 27 tahun dan seorang lagi penumpang, lelaki berumur 19 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, "ujar beliau.
Menurutnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati, semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal bergerak di laluan lurus dari arah pusat bandar Bintulu.
Katanya, sampai di lokasi kejadian, mangsa yang sedang bergerak laju gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya lalu bertembung dengan kereta terbabit yang sedang melakukan pusingan U.
"Impak yang cukup kuat dari perlanggaran ini mengakibatkan motosikal ditunggang mangsa terhumban ke lorong kiri jalan," jelas beliau.
Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat.
