Jika Allah hukum saya, saya tiada lagi di muka bumi – Ebby Yus
MENAHAN sebak air mata, pelakon komedi, Ebby Yus atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, cuba berkongsi pengalaman hidupnya saat dirinya mula mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Ramai yang terhibur dengan gelagat lucu Ebby setiap kali kemunculannya di kaca televisyen sebelum ini. Namun, figura prolifik ini tidak dapat menidakkan dirinya hanya insan biasa yang perlu melalui pengalaman hidup yang getir dan berliku.
Ebby merasakan berlaku perubahan yang sangat ketara dalam hidupnya setelah dia mula berusaha untuk menunaikan solat dengan lebih baik.
“Memang perbezaan itu amat ketara, saya rasakan. Secara jujur dan ikhlasnya, semasa kita tidak kenal dengan solat dan selepas kita kenal dengan solat.
“Perbezaannya saya dapat rasakan, sebelum saya benar-benar kenal (solat) dan selepas saya kenal, memang ada perbezaannya. Hati makin tenang dan perasaan makin indah sebenarnya. Sebenarnya, dia amat indah,” kongsinya sambil menyeka air mata.
Menurut Ebby, setelah dia cuba memperbaiki solatnya dan semakin mengenal Pencipta, Allah SWT, dia dapat merasakan sebuah kekuatan hadir dalam dirinya.
“Apabila kita kenal akan solat itu dan kenal akan siapa yang kita sembah itu, sebenarnya kekuatan itu akan datang daripada Dia.
“Sebab kita memang tiada apa-apa, saya tidak berani cakap saya kuat, sebab saya memang tidak kuat. Saya manusia yang lemah, penuh dosa, hina, miskin, tetapi kekuatan itu lahir kerana diberi (hidayah),” kongsinya.
Ebby berkongsi kisah dirinya itu semasa menghadiri porgram Usrah Anak Muda anjuran radio islamik, Zayyan, di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Turut berkongsi kisah nasib dirinya ketika malam kejadian banjir memusnahkan rumah baru-baru ini di Kuala Langat, Selangor. Mengakui dirinya sangat terkesan dengan kejadian itu.
Jika tidak digerakkan Allah untuk meninggalkan kediamannya itu, Ebby merasakan ada kemungkinan dirinya kini sudah tidak bernyawa lagi akibat bencana banjir berkenaan yang menyaksikan kediamannya yang sedang dibina hanyut di bawah arus air yang deras.
“Sebenarnya banjir itu adalah satu teguran Allah. Tegurannya, yang seperti saya katakan bahawa kita tidak (akan) pernah faham akan bahasa Tuhan. Kita tidak pernah terfikir akan rindu Tuhan terhadap kita.
“Sebab kita jarang sebut nama Dia, Dia ingin nama Dia disebut, ‘Kau lupa, kau sudah lama tidak sebut nama Aku, Aku nak cuit kau sikit.
“Pada saya, itu bukannya satu hukuman terhadap saya, jika Allah menghukum saya, saya tidak ada lagi di atas muka bumi ini,” katanya dalam suara yang bergetar kerana sedih.
Dalam nada sebak, Ebby menjelaskan, pada jam enam petang di hari kejadian, dia meninggalkan kediamannya tersebut sebab dipanggil untuk turut menyertai misi bantuan banjir di Kapar, Perak.
Ketika itu katanya, Kapar terlebih dahulu telah dilanda banjir dan misi tersebut bermatlamat untuk membawa 800 pek bungkusan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di lokasi tersebut.
Ketika dalam perjalanan ke Kapar, Ebby mendapat panggilan dari rakannya yang menunjukkan keadaanya rumahnya yang musnah dibawa bersama arus banjir.
Menurut Ebby lagi, selepas mendapat perkhabaran itu, dia memaklumkan hal itu kepada pendakwah, Ustaz Ashraf Suarin yang juga turut serta dalam misi bantuan berkenaan.
“Saya beritahu Ustaz Ashraf, saya menerima panggilan telefon, dan tunjukkan rumah saya sudah dibawa air. Ustaz Ashraf kata ‘Sabarlah,’. Perkataan sabar itulah yang menguatkan saya.
“Ikhlas saya katakan, jika seorang Ustaz cakap kepada saya agar beesabar, siapalah saya hendak memahami erti sabar itu sebenarnya.
“Sabar ini kita kata, boleh cakap sahaja. Tetapi mampukan kita bersabar? Macam tadi, khusyuk. Kita boleh beritahu, khusyuk. Tetapi mampukah aku sendiri khusyuk?
“Kerana, khusyuk dan sabar bukan milik kita, ia bukan milik kita tetapi milik Allah. Gerak, diam semua milik Allah. Jadi kita tak mampu sebenarnya,” katanya.
Tambah Ebby, dengan kejadian itu dia sedar tiada satu pun yang ada di muka bumi milik sesiapa, kesemua yang dinikmati hari ini adalah milik Allah SWT.
Ebby yang hadir semasa Program Usrah Anak Muda anjuran Zayyan itu untuk berkongsi mengenai ‘Solat; sempena Bulan Solat Kebangsaan yang dilancarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada bulan ini.
Turut hadir dalam program sama, Menterinya, Datuk Idris Ahmad dan Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Terdahulu, media melaporkan kediaman milik Ebby musnah sekelip mata apabila dihanyutkan air deras dalam bencana banjir di Kuala Langat, pada 18 Disember tahun lalu.
Rumah yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan di tanah setengah ekar di kawasan penempatan itu, dihanyutkan air deras, mengakibatkan Ebby kerugian hampir RM200,000




