Ibu Syamel meninggal dunia


Ibu penyanyi Syamel, Wan Faaizah Karim, 55 menghembuskan nafas terakhir, jam 10.09 malam tadi selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara sejak hampir sebulan lalu.

Berita pemergian arwah ibunya disahkan oleh Syamel kepada BH Online, sebentar tadi.

"Saya reda dengan pemergian arwah. Beliau menghembuskan nafas terakhir jam 10.09 malam tadi selepas lebih sebulan bertarung nyawa. Doktor sudah cuba melakukan yang terbaik, namun Allah lebih menyayanginya.

"Saya sangat sedih, apatah lagi, tidak dapat bertemu arwah ketika dirawat di hospital.

"Apapun, saya dan keluarga reda jika itu jalan yang terbaik buat arwah," katanya.


Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly memaklumkan jenazah arwah ibunya akan dikebumikan pada tengah hari ini.

"Saya sedang menguruskan beberapa perkara berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan hospital dalam situasi pandemik COVID-19.

"Selepas itu, barulah jenazah arwah Umi akan dibawa ke surau berdekatan di kawasan kediaman.

"Insya-Allah, jenazah Umi akan dikebumikan pada tengahari," kata suami kepada penyanyi, Ernie Zakri ini.

Penyanyi lagu Hidup Dalam Mati ini turut berkongsi khabar duka menerusi laman Instagram (IG), sebentar tadi.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengikut termasuk rakan selebriti yang mendoakan Syamel dan keluarga tabah menghadapi ujian kehilangan itu.

Terdahulu, BH melaporkan Syamel menafikan ibunya dijangkiti COVID-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital sepanjang hidupnya.